Ujian air kencing sahkan Rizalman negatif dadah

KUALA LUMPUR: Surat rasmi daripada Polis Kuala Lumpur yang menunjukkan sampel ujian air kencing Datuk Rizalman Mokhtar didapati negatif dadah, tular di media sosial.

Surat itu menunjukkan selepas ujian awal di kelab malam di mana beliau ditahan, sampel air kencing Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak itu dihantar ke Unit Patologi Hospital Kuala Lumpur untuk ujian lanjut.

Ditandatangani oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon, surat tersebut turut menyebut kes itu dianggap selesai dan tiada tindakan lanjut diperlukan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika dihubungi berkata, pegawai penyiasat dari ibu pejabat polis Dang Wangi telah menghantar sampel ujian air kencing Rizalman secara profesional.

“Ia kemudian dihantar ke unit Patologi di Hospital Kuala Lumpur.

“Memandangkan ia adalah kes berkepentingan awam, polis meminta pihak hospital untuk mempercepatkan ujian berkenaan,” katanya pada Sabtu.

Beliau menambah, unit patologi hospital merumuskan bahawa air kencing Rizalman didapati negatif.

“Kita telah merujuk perkara ini kepada pengarah pendakwaan negeri.

“Pengarah pendakwaan juga telah merumuskan bahawa tiada tindakan lanjut diperlukan ke atas Rizalman,” katanya sambil menambah bahawa ujian air kencing sembilan rakan Rizalman belum dimuktamadkan.

Mazlan bagaimanapun menyangkal dakwaan berhubung Rizalman diperangkap, dengan mengatakan polis telah menjalankan siasatan secara adil dan telus.

“Segala-galanya dijalankan berdasarkan prosedur operasi standard dan kita juga menghantar surat mengenai kes itu kepada Rizalman,” katanya.

 

Sumber: mstar