“Jual Air Jagung Hanya Suka-Suka, Tak Sangka Dapat Sambutan”- Amir Raja Lawak

“Jual Air Jagung Hanya Suka-Suka, Tak Sangka Dapat Sambutan”- Amir Raja Lawak

Pelawak dan pelakon Amir Raja Lawak tidak menyangka perniagaan Air Jagung Amirreka yang diusahakan olehnya mendapat sambutan.Kata Amir, dia tidak pernah berputus asa untuk mencari sumber rezeki walaupun perniagaan roti bakar yang diusahakannya sebelum ini tidak menjadi.

“Pada mulanya saya lakukan perniagaan ini sekadar suka-suka tapi tak sangka pula dapat sambutan.

“Pati air jagung ini saya buat sendiri dan resepinya saya dapat daripada kawan saya.

“Syukur, perniagaan yang dimulakan hampir setahun ini mendapat maklum balas positif daripada pelanggan.

“Ini merupakan salah satu inisiatif lain untuk saya menambah punca pendapatan dan saya tak pernah putus asa.

“Saya jual air ini selalunya di acara-acara festival yang saya sertai dan mereka membuka ruang kepada peniaga untuk berniaga di majlis tersebut.

“Alhamdulillah, lebih kurang 500 paket air jagung dapat dijual dalam masa sehari,” katanya.

Amir ditemui ketika majlis tayangan perdana filem televisyen (FTV) Suatukala bertempat di TGV Sunway Velocity pada Isnin.


Dalam pada itu, Amir berharap  dapat mengembangkan perniagaannya di seluruh negeri.“Setakat ini, air jagung Amirreka sudah mempunyai beberapa cawangan antaranya di Sabah, Kuantan dan Selangor.“InshaAllah, tahun ini saya merancang untuk menjual air jagung ini di bazar Ramadan. Nak tambah rezeki, apa salahnya.”Bila dah berkeluarga kenalah cari rezeki lebih. Tak salah pun, untuk kami juga,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Amir bakal muncul menerusi filem televisyen (FTV) berjudul Suatukala.

Suatukala menampilkan tiga hikayat cerita dogeng iaitu Malin Kundang, Merah & Putih dan Badang.

Selain Amir, Suatukala juga menampilkan barisan pelakon seperti Kamal Adli, Dynas Mokhtar, Sharifah Shahirah, Liza Othman, Rykal Iskandar, Wafiy Ilhan, Sweet Qismina, Harith Haziq, Qistina Raisah, Arel Azimi dan Firdaus Ghufran.

Suatukala bakal menemui penonton bermula 15 Mac ini di Astro First Eksklusif (480) dengan bayaran RM15.90 untuk tempoh 48 jam.

Foto: Instagram @amirrajalawak

Teks oleh: Mya Amri

Sumber: