Insya-Allah, dia tunggu saya di syurga – Mia Ahmad

KUALA LUMPUR: Insiden keguguran dialaminya baru-baru ini sedikit pun tidak menggugat keinginan pelakon, Mia Ahmad, untuk menimang cahaya mata.

Mendirikan rumah tangga dengan penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan, 13 Januari lalu, Mia dan suami sebaliknya yakin ada hikmah di sebalik ujian menimpa mereka.

Reda dengan segala ketentuan, Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Telenovela 2017 yang berlangsung baru-baru ini juga berkata, beliau enggan lagi memikirkan musibah berkenaan.

“Saya akur dengan apa yang terjadi dan saya sendiri sudah tidak lagi terkesan dengan insiden terbabit. Saya yakin, pasti ada hikmah di sebalik semua ujian itu. Insya-Allah, dia (anak) sedang menunggu saya di syurga.

“Saya juga melihat semua dugaan itu dari sudut yang berbeza. Saya seperti insan terpilih untuk melalui ujian sedemikian.

“Namun, andai ada rezeki untuk hamil lagi, saya pastinya sekali-kali takkan menolak. Saya dan suami memang inginkan cahaya mata,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Hati Perempuan itu juga menganggap ujian berkenaan sebagai ruang untuk memperkasakan dirinya sebagai manusia.

“Jujur, apabila disahkan hamil dulu, sayalah insan paling teruja dan tidak sabar nak jadi ibu. Jadi, saat diuji dengan keguguran, kesedihan memang tak dapat dibendung. Begitupun, lama-kelamaan saya kembali seperti biasa.

“Semangat suami yang kuat menjadi azimat untuk saya bangkit semula. Kalau saya bersedih, pasti dia kena jadi lebih kuat daripada saya,” katanya sambil mengharapkan 2018 akan terus memberikan sinar kebahagiaan buat mereka berdua.

 

Sumber: BHOnline

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*