Dulu isteri TPM, kini jadi TPM, itulah Wan Azizah!

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai timbalan perdana menteri kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan, selepas ia memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mesyuarat khas berkaitan pembentukan Kabinet di Wisma Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Sabtu.

Pelantikan itu menjadikan Dr Wan Azizah, 65, sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai timbalan perdana menteri di negara ini.

Jawatan sama pernah disandang suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim dari 1993 sebelum dipecat daripada Kabinet pada 1998.

Ramai yang mengagumi kesetiaan, kecekalan dan komitmen politik Dr Wan Azizah, yang berperwatakan lembut itu, susulan kontroversi yang membabitkan Anwar sejak 20 tahun lepas.

Dr Wan Azizah menyertai dunia politik atas dorongan untuk mendapatkan keadilan bagi Anwar dengan menggalas tanggungjawab besar untuk menerajui PKR, yang diasaskannya bersama suaminya semasa kemelut politik pada 1998.

Walaupun pada awalnya sering dilihat sebagai presiden yang pasif, Dr Wan Azizah merentasi transformasi yang luar biasa sehingga menjadi tonggak kekuatan bukan sahaja kepada suami dan anak-anak, malah kepada rakan-rakan politik dan generasi reformasi.

Dilahirkan pada 3 Disember 1952 di Singapura, yang ketika itu masih sebahagian daripada Tanah Melayu, Dr Wan Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent St. Nicholas, Alor Setar, Kedah sebelum ke Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian tinggi di Royal College of Surgeons, Ireland pada 1973 dan mendapat ijazah dalam bidang oftalmologi.

Sekembali ke Malaysia, beliau berkhidmat sebagai doktor dalam sektor kerajaan sebelum bersara pada 1993 apabila suaminya dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Pada Julai 2008, Dr Wan Azizah meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil di kerusi Parlimen tersebut.

Pada Mac 2014, beliau dipilih menggantikan suaminya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan berjaya menewaskan calon BN, Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi.

Ketika Anwar dipecat daripada kerajaan dan ditahan pada 1998, Dr Wan Azizah telah membantunya menubuhkan Parti Keadilan Nasional (kini dikenali Parti Keadilan Rakyat) pada 1999 dan menjadi presidennya sejak itu.

Saat itu, bermulalah perjalanan kerjaya politik ibu kepada enam anak itu dengan bertanding buat kali pertama dalam PRU1999 di kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang disandang suaminya.

Beliau berjaya menewaskan lawannya Datuk Seri Ibrahim Saad dari Barisan Nasional.

Seterusnya, beliau mempertahan kerusi itu bagi penggal kedua pada PRU 2004 selepas menewaskan calon BN Pirdaus Ismail diikuti penggal ketiga pada PRU 2008 dengan menewaskan Pirdaus.

Kira-kira setahun kemudian, Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja Anwar menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, sekali gus terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Dr Wan Azizah kemudian bertanding PRK Permatang Pauh pada Mei 2015 dan berjaya menewaskan Suhaimi Sabudin (BN), Salleh Isahak (BEBAS) dan Azman Shah Othman (PRM) dalam pertandingan empat penjuru.

Pada PRU14, Dr Wan Azizah meninggalkan kerusi tradisi keluarganya, Permatang Pauh, untuk membolehkan anaknya Nurul Izzah bertanding di situ.

Beliau berpindah ke Parlimen Pandan dan berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 52,543 undi untuk menewaskan empat calon lain.
-Bernama

 

Sumber:

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*