“Kalau Tak Suka, Kenapa Tengok?” – Fattah Amin

PASANGAN sensasi, Fattah Amin dan isterinya Fazura sering menjadi perhatian orang ramai tidak kira dimana mereka berada.
Baik di laman sosial mahupun di khalayak ramai, pasangan berdarah ‘manis’ itu jelas tidak berasa kekok untuk mempamerkan kemesraan mereka.

Perkara tersebut menyebabkan terdapat segelintir netizen yang mengecam pasangan selebriti tersebut yang dikatakan seolah-olah terlalu menunjuk kebahagiaan mereka.

Mengulas mengenai kecaman itu, Fattah mengaku sedikit terkilan dengan mentaliti yang ditonjolkan segelintir netizen yang sering meninggalkan komen negatif di laman sosial mereka berdua sedangkan mereka tidak perlu melihatnya jika berasa tidak senang akan perkara itu.

“Saya tidak faham dengan sesetengah pihak yang menghina dan mengutuk tapi masih mahu melihat gambar atau video kami.

“Mudah saja sebenarnya, jika tidak suka, mengapa membazirkan masa untuk tengok?

“Atau lebih baik berdiam diri daripada terus meninggalkan komen yang mampu mengguris hati mana-mana pihak,” katanya dipetik daripada BH Online.

Kata Fattah, dia berharap para netizen hanya mendoakan yang baik-baik sahaja kepada dia dan isterinya yang baru melangsungkan perkahwinan mereka tahun lalu.

Berkongsi mengenai persepsi negatif yang dilemparkan sesetengah pihak berkenaan karier Fattah yang dikatakan semakin suram selepas berkahwin, Fattah menyifatkan dia hanya berserah kepada Tuhan.

“Ini saya tidak dapat komen… Bagi saya, semua ini terletak pada ketentuan Allah.

“Rezeki terbahagi kepada pelbagai cara, mungkin ia diberi dalam cabang berbeza,” ujarnya.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, pelakon filem KL Special Force itu kini sedang mengusahakan produk makanan gantian yang dipanggil MRP Diet By Fattah Amin dan telah dipasarkan sejak enam bulan lalu.

Baca: Fattah Kini Sibuk Bisnes Sup Segera ‘Kacau-Kenyang

Jelasnya, bisnes yang dilakukannya ini tidak bermakna dia ingin memperlahankan karier lakonannya sebaliknya berharap kedua-duanya seimbang.

“Saya berniaga bukan kerana mahu memperlahankan kegiatan seni. Kalau boleh, biarlah kedua-dua bidang ini seimbang,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/EZ